JOHOR BAHRU: Kerajaan akan bekerjasama dengan sektor swasta bagi membina 18 loji memproses sisa pepejal kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) di semenanjung kerana melibatkan kos yang tinggi.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sian berkata, sebuah loji dianggarkan bernilai antara RM500 juta hingga RM1 bilion mengikut kapasitinya.
Katanya, harga tersebut berdasarkan kapasiti loji WTE memproses sampah iaitu antara 1,000 tan hingga 2,000 tan.
“Kita sasarkan pembinaan 18 unit loji WTE ini dalam tempoh 10 tahun dan akan dilakukan secara berperingkat. Kita juga akan bekerjasama dengan pihak swasta bagi tujuan tersebut kerana kosnya agak tinggi.
“Satu unit loji dianggarkan bernilai antara RM500 juta hingga RM1 bilion, bergantung kepada kapasitinya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (Perkiss) Peringkat Negeri Johor bagi tahun 2024 di pusat beli belah Toppen, di sini semalam.
Tambah Loy Sian, walaupun kos pembinaannya agak mahal namun ia perlu dibuat untuk menyelesaikan masalah kekurangan tapak pelupusan sampah bagi tempoh jangka masa panjang.
“Buat waktu ini, ada beberapa negeri dengan tapak pelupusan sampah dalam keadaan kritikal, tetapi perkara itu sedang ditangan kerajaan. Kita mahu kurangkan pencemaran air bawah tanah dan juga pencemaran udara yang terhasil menerusi tapak pelupusan sisa sedia ada ketika ini.
“Tanah di Malaysia ini semakin tinggi nilainya jadi sekiranya ia digunakan sebagai tapak pelupusan sampah, ia bukanlah cara terbaik. Jika tanah itu mahu digunakan semula kita perlu tunggu sehingga 50 tahun, ia ambil masa terlalu lama,” jelasnya.
Hoy Sian turut memberitahu, ketika ini terdapat satu WTE yang telah beroperasi di Negeri Sembilan, manakala WTE seterusnya yang akan beroperasi adalah di Bukit Payung, Johor dan ketiga di Sungai Udang, Melaka.
Pada 1 Julai lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam Sidang Dewan Rakyat memberitahu, kerajaan merancang untuk membina 18 loji WTE di Semenanjung menjelang 2040.
Beliau dilaporkan berkata, teknologi itu selamat digunakan di Malaysia kerana loji WTE beroperasi pada suhu konsisten serta dilengkapi sistem rawatan gas serombong yang mampu merawat gas berbahaya daripada dilepaskan ke alam sekitar.
Tambah beliau, teknologi itu juga tidak memerlukan keluasan tanah yang besar, tidak menghasilkan air larut resap (leachate), bau busuk dan gas metana yang memberi impak negatif kepada kesihatan masyarakat dan alam sekitar.
Penggerak Daily