Oleh: Editorial Penggerak Daily
Tiga ekor gajah liar yang dipercayai menimbulkan konflik ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor menerusi operasi di dua lokasi berasingan di Kota Tinggi, semalam.
Tangkapan dua ekor gajah betina dan seekor jantan itu dibuat susulan daripada kejadian serangan sehingga menyebabkan satu kematian pada 27 Julai lepas dan kes tular gajah mengamuk pada 31 Julai dan kedua-dua kejadian berlaku di Batu 6, Jalan Mawai.
Tangkapan pertama melibatkan seekor gajah betina di Ladang REM Pasak pada jam 12.30 tengah hari manakala seekor lagi gajah betina ditangkap di Ladang Felda Pasak pada 5.30 petang, disusuli gajah jantan di lokasi sama pada 7.15 malam.
Tangkapan dilakukan oleh Unit Tangkapan Gajah Johor dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang dengan melibatkan kekuatan 12 kakitangan yang dipecahkan kepada dua kumpulan.
Keadaan ketiga-tiga gajah liar itu sihat dan aktif.
Penggerak Daily
Sumber: Bernama