JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti sebanyak 5,648 lokasi titik panas banjir di seluruh negara.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, Sarawak merekodkan jumlah titik panas tertinggi iaitu 1,066 lokasi, diikuti Sabah (798); Pahang (750), Johor (745) dan Kelantan (617).
“Selain itu, kita juga telah kenal pasti kawasan berpotensi terjadinya kepala air melibatkan kawasan air terjun sebanyak 186 lokasi, manakala kawasan cerun kritikal pula adalah sebanyak 254 lokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 yang diadakan di Tanjung Puteri Golf Resort, Pasir Gudang, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah JBPM Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Siti Rohani Nadir.
Sementara itu, mengulas berhubung persiapan jabatan itu dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula bulan ini hingga Mac 2024, Abdul Wahab memberitahu pihaknya telah membekukan cuti 80 peratus pegawai dan anggota.
“Daripada jumlah seramai 13,435 keanggotaan di seluruh negara, hanya 20 peratus sahaja dibenarkan cuti tetapi ia tertakluk kepada situasi banjir setempat.
“Kita tidak beku terus tetapi kalau kata Johor ini berlaku banjir lebih awal mengikut daerah-daerah tertentu, kita akan bekukan cuti sekiranya diperlukan termasuklah anggota daripada daerah bersebelahan. Kalau perlu satu negeri, satu negeri kita bekukan cuti.
“Jika berlaku banjir besar seperti tahun 2014 lalu, kita akan bekukan cuti anggota dari negeri-negeri lain untuk bantu negeri yang terlibat banjir,” ujarnya.
Tambah Abdul Wahab, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam di Batu pahat akan dijadikan pangkalan zon selatan dalam menggerakkan operasi jabatan itu menghadapi musim MTL, tahun ini.
“Semua aset logistik bomba telah ditempatkan di balai itu kerana lokasinya strategik bagi memberi bantuan di tiga negeri selatan tanah air. Aset logistik ini melibatkan jentera darat, udara dan air yang kini diletakkan dalam keadaan siap siaga.
“Ini termasuk mewujudkan satu pasukan petugas khas untuk memberi bantuan terhadap sebarang panggilan berkenaan bantuan banjir. Langkah ini diambil bagi memastikan bantuan dapat dilakukan segera kepada kawasan-kawasan terjejas.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Terengganu akan menjadi pusat operasi bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Penggerak Daily