JOHOR BAHRU: Situasi banjir luar biasa yang berlaku di enam daerah negeri ini berpunca ekoran taburan hujan luar biasa mencecah sehingga 150 milimeter (mm), berbanding purata hanya 20 mm.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu ditambah dengan fenomena air pasang setinggi 3 meter telah menyebabkan kejadian banjir luar jangkaan di beberapa kawasan.
Sehubungan itu katanya, mesyuarat khas bersama agensi-agensi berkaitan telah diadakan ekoran situasi banjir yang membimbangkan di negeri ini.
“Antara daerah terjejas adalah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Pontian dan Kluang.
“Saya telah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi lain memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi buat semua mangsa banjir,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama ketua-ketua agensi keselamatan, di sini.
Tambah Onn Hafiz, agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM); Jabatan Bomba dan Penyelamat; Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah menggerakkan aset bagi mempercepat operasi menyelamat.
Penggerak Daily