JOHOR BAHRU: Enam daerah di negeri ini telah dikenalpasti sebagai antara lokasi kerap berlaku kebakaran terbuka melibatkan kawasan tanah gambut khususnya ketika cuaca musim panas.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir memberitahu pihaknya telah mengambil langkah bersiap-siaga bagi berdepan bukan sahaja banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL), tetapi juga kebakaran terbuka akibat cuaca panas.
Katanya, ketika musim peralihan antara hujan lebat dan cuaca panas ini, kedua-dua insiden iaitu banjir kilat dan kebakaran terbuka boleh berlaku pada masa sama.
“Kita sekarang di dalam musim peralihan cuaca daripada hujan ke panas, tetapi MTL masih belum selesai dijangka sehingga Mac, namun dalam masa sama kita telah terima panggilan berhubung kebakaran terbuka khususnya melibatkan kawasan tanah gambut.
“Sejak awal tahun sehingga kini, kita telah terima 18 panggilan melibatkan kebakaran terbuka di kawasan belukar, majoritinya melibatkan tanah gambut. Oleh itu kesiapsiagaan kita ketika ini adalah berdepan kemungkinan banjir kilat dan juga kebakaran terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Johor Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Johor, di sini hari ini.
Tambah Siti Rohani, pihaknya menjalinkan kerjasama erat dengan agensi-agensi berkaitan termasuklah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan untuk mengenal pasti lokasi ‘hotspot’ serta tindakan penguatkuasaan.
“Enam daerah dikenalpasti kerap berlaku kebakaran terbuka melibatkan tanah gambut adalah Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Pontian, Batu Pahat dan Muar.
“Sejak 2020 hingga 2023, Batu Pahat merekodkan sebanyak 57 kes kebakaran tanah gambut, diikuti Muar (41 kes); Pontian (40 kes); Tangkak (20 kes); Kluang (15 kes) dan Kota Tinggi (13 kes).
“Ini adalah kes kebakaran tanah gambut berskala besar yang melibatkan kebakaran merebak ke kawasan sekitar sehingga memerlukan tempoh masa lama untuk mengawal dan memadam kebakaran,” ujarnya.
Dalam masa sama, pihaknya menasihati orang awam termasuk pemilik ladang dan kebun agar tidak memulakan sebarang kebakaran secara terbuka khususnya ketika tempoh musim cuaca panas ketika ini.
Penggerak Daily