Categories
Alam Sekitar Berita

DIA COMEL, TAPI BAHAYA

Oleh: Editorial Penggerak Daily

Walaupun comel, kehadiran seekor beruang matahari yang sejak tiga hari lepas menimbulkan kebimbangan penduduk Kampung Baru, Kuala Abang di sini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Baru Kuala Abang, Shafie Mamat berkata beruang itu dipercayai bukan sahaja berkeliaran di kampung berkenaan malah turut merosakkan tanaman penduduk.
Katanya, penduduk bimbang sekiranya haiwan itu muncul pada waktu pagi dan menjadi ancaman ketika mereka ingin keluar menjalankan rutin harian seperti ke laut dan kanak-kanak ke sekolah.
Shafie berkata pihaknya akan membuat laporan berkenaan kemunculan haiwan tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam masa terdekat.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata meskipun pihaknya belum menerima laporan secara rasmi berkenaan haiwan tersebut namun, siasatan akan tetap dilakukan.
“Jika benar seperti yang ditularkan, kita akan ambil tindakan sewajarnya dan pemasangan perangkap akan dilakukan agar haiwan berkenaan dipindahkan ke taman negara,” katanya ketika dihubungi di sini.
Pada Isnin, seorang pengguna media sosial Facebook memuat naik video berdurasi 0.15 saat yang memaparkan seekor beruang berwarna hitam sedang merosakkan tanaman penduduk di kampung tersebut.
Sumber: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *