ISKANDAR PUTERI: Kawasan pembangunan Forest City di sini turut mengambil kira keseimbangan ekosistem antara pembangunan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar khususnya melibatkan kawasan Beting Merambong.
Profesor di Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, UPM, Prof. Dr. Muta Harah Zakaria berkata, pihaknya telah dilantik pemaju Forest City iaitu Country Garden Pacific View Sdn. Bhd. (CGPV) bagi mencapai matlamat tersebut.
Menurut beliau, kerjasama antara kedua-dua pihak itu telah terjalin sejak 2015 lagi.
“Beting Merambong seluas 26.3 hektar itu merupakan kawasan tumbuhan rumput laut terbesar di Semenanjung Malaysia, kawasan itu akan muncul di permukaan apabila keadaan air laut surut.
“Terdapat 17 spesies rumput laut yang telah dikenalpasti berada di perairan Malaysia, dan uniknya di Beting Merambong ini, 12 daripada spesies tersebut hidup dengan subur di sini.
“Selain itu, kawasan ini juga merupakan habitat kepada lebih 100 flora dan fauna, antaranya termasuklah dugong, pelbagai jenis hidupan cangkerang, siput, timun laut, kuda laut dan pelbagai spesies ikan,” katanya kepada pemberita.
Spesies rumput laut yang boleh ditemukan di Beting Merambong termasuklah Enhalus Acoroides; Thalassia Hemprichii; Halophila Major; Halophila Minor; Halophila Ovalis dan Halophila Spinulosa.
Muta Harah yang merupakan Koordinator Projek Pemantauan dan Penilaian, Penyesuaian dan Pemulihan Ekosistem Rumput Laut Muara Sungai Pulai bagi Forest City turut memberitahu, pihaknya memuji komitmen ditunjukkan CGPV berhubung perkara tersebut.
“Memang kawasan ini sedikit terjejas pada awalnya, namun dengan kerjasama erat antara CGPV dan juga UPM, kami berjaya memulihara kawasan Beting Merambong ini secara berperingkat bermula sejak tahun 2015.
“Kerjasama ini masih lagi diteruskan, dan kami yakin kewujudan Beting Merambong akan turut memberi manfaat kepada pembangunan Forest City yang sedang pesat berkembang ketika ini,” jelasnya.
Penggerak Daily