Oleh: Editorial Penggerak Daily
Susulan aktiviti pemburuan haram berskala besar yang berlaku di kawasan hutan sekitar Johor malam tadi, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar murka dengan dan menitah agar dalang disebalik kegiatan pemburuan haram ini diheret ke muka pengadilan.
“Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta polis segera menjalankan siasatan dan sediakan satu laporan penuh berhubung kejadian malam tadi” titahnya menerusi akaun facebook @officialsultanibrahim.
Menurut akaun itu lagi, antara lokasi pemburuan haram adalah di Endau-Rompin, Mersing dan Kahang. Haiwan yang diburu secara besar-besaran termasuk kancil dan landak, kemudian disyaki dijual untuk tujuan perubatan tradisional.
Baginda Tuanku Sultan menegaskan, secara dasarnya pemburuan adalah tidak dibenarkan di Johor kecuali untuk mengawal binatang liar di ladang atau kawasan pertanian.
Sebelum ini Baginda sudah beberapa kali membangkitkan isu pemburuan haram namun Baginda berasa kecewa kerana tiada sebarang tindakan yang dilakukan.
“Saya juga mahu siasatan untuk mengenalpasti jika ada penglibatan ‘orang dalam’ di PERHILITAN dan polis yang membantu kegiatan haram ini,” titah DYMM Sultan Johor lagi.
PenggerakDaily