JOHOR BAHRU: Johor berhasrat untuk menjalin kerjasama strategik dengan Sarawak berhubung inisiatif Tenaga Boleh Baharu (TBB) khususnya teknologi hijau berasal dari hidrogen.
Pengerusi Pusat Kelestarian Johor (JSC), Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan mengetuai delegasi membuat lawatan ke negeri Borneo itu, akhir bulan ini.
“Salah satu strategi kerajaan negeri dalam menyokong pelaksanaan inisiatif hijau dan TBB di negeri ini adalah dengan menjalin kerjasama bersama pihak ketiga, sama ada awam atau swasta.
“Ini termasuklah kerajaan negeri Sarawak yang telah memberikan tumpuan kepada pembangunan teknologi hidrogen sebagai satu sumber tenaga, jadi kita mahu belajar daripada kepakaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Paragon Globe Bhd. (PGB) dan UOB Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng dan Ketua Perbankan UOB Malaysia, Andy Cheah Shu Kheem.
Tambah Hasni, Sarawak turut berhasrat untuk membekalkan TBB kepada Singapura pada masa depan, jadi pihaknya berhasrat untuk menggunapakai tenaga sama untuk kelestarian alam sekitar pada masa depan.
Bulan lalu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan Sarawak untuk melaksanakan projek sambung tara bekalan elektrik berkapasiti sehingga 1,000 Megawatt (MW) ke Singapura melalui kabel dasar laut.
Menurut beliau, perkara itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 15 Februari lalu.
Projek kabel ini dijangka akan beroperasi secara komersial pada tahun 2031.
Sementara itu, berhubung program berkenaan, MoU itu menyaksikan UOB Malaysia bersetuju memberikan pinjaman berjumlah RM176 juta untuk membangunkan Pusat Perindustrian Hijau pertama PGB di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri.
Penggerak Daily