JOHOR BAHRU: Johor bakal menjadi tuan rumah kepada seramai 2,000 delegasi daripada 150 negara antarabangsa sempena persidangan Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023 bermula 13 hingga 17 September depan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemilihan Johor selaku tuan rumah bagi persidangan berprestij itu merupakan bukti terhadap komitmen kerajaan negeri dalam menjayakan agenda hijau.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan membentangkan rangka kerja hala tuju perjanjian hijau ‘Johor Green Deal’ dalam persidangan itu.
“Rangka kerja itu merupakan satu inisiatif dalam memastikan Johor bersedia untuk berdepan perubahan iklim global pada masa hadapan. Langkah itu bertujuan memastikan inisiatif hijau yang dirancang dapat dilaksanakan.
“Saya berbangga Johor terpilih sebagai tuan rumah APCW buat julung kalinya, walaupun masalah banjir adalah masalah global, tetapi kita akan berkongsi pengalaman mengatasi masalah banjir melanda negeri ini sebagai kes ‘study’,” katanya dalam sidang akhbar sempena APCW 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Koordinasi Program APCW, Niclas Svenningsen dan Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO), Datuk Seri Hasni Mohammad.
Sementara itu, Niclas pula memberitahu, persidangan itu akan mendorong dialog serta perkongsian idea yang akan membuka jalan penyelesaian dan langkah kukuh dalam menangani masalah perubahan iklim.
“Acara ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, perniagaan, masyarakat dan juga sektor akademik untuk mencari penyelesaian terbaik dalam menangani cabaran iklim khusus kepada setiap rantau.
“Kami memilih Johor berbanding beberapa lokasi lain seperti Korea Selatan, Thailand, China dan Pakistan adalah kerana komitmen ditunjukkan kerajaan negeri ini terhadap usaha hijau,” jelasnya.
Persidangan sama turut diadakan sebelum ini melibatkan rantau berbeza bagi menangani masalah setempat iaitu di Nairobi, Riyadh dan juga Panama City.
Penggerak Daily