Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan mempertimbagkan hukuman lebih berat terhadap pencemar sungai, kata Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan pasukan petugas khas cegah jenayah alam sekitar hari ini, Tuan Ibrahim menyifatkan hukuman bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 tidak memadai.
Beliau berkata, pindaan terhadap akta itu akan dibentangkan pada mesyuarat Parlimen akan datang.
Katanya, akta itu perlu dipinda supaya hukuman lebih berat dikenakan dan kilang yang melakukan pencemaran sumber air akan bertanggungjawab menanggung kos pembersihan.
Pasukan petugas khas itu ditubuhkan selepas pertemuan antara kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri dijangka beroperasi bulan depan.
Tuan Ibrahim berkata, pasukan itu akan membabitkan kerjasama agensi penguatkuasaan seperti polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Kementerian juga bersetuju memberikan kuasa kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap pencemar.
“Kuasa dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan diberikan kepada polis,” katanya.
“Setakat ini hanya kuasa bawah Akta Biokeselamatan 2007 diberikan kepada mereka,” katanya.
Sumber: freemalaysiatoday