PASIR GUDANG: Sebuah kilang yang memproses makanan di sini dikenakan kompaun berjumlah RM30,000 selepas didapati gagal mematuhi peraturan berkaitan penjagaan alam sekitar ditetapkan pihak berkuasa.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memberitahu, kompaun berkenaan melibatkan sejumlah 15 kompaun yang dikeluarkan pihaknya terhadap kilang tersebut, semalam.
Menurut kenyataan itu, kilang itu didapati gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Persampelan ke atas pelepasan efluen telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis.
“Tindakan susulan akan diambil ke atas premis selepas keputusan analisa diterima dari Jabatan Kimia,” jelas kenyataan itu.
Menurut JAS lagi, premis industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan serta memastikan sebarang pencemaran alam sekitar tidak berlaku semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara dilaksana.
Penggerak Daily