Oleh: Abdul Muein Abadi
Apa jadi sebenarnya hinggakan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghisap vape di Parlimen hari ini? Salah tetap salah, dan Datuk Seri Hishammuddin pun sudah memohon maaf serta berjanji akan membayar denda.
Namun begitu, saya terpanggil untuk berkongsi latar cabaran getir geopolitik serta apa yang terjadi dalam tempoh 24 jam lalu khususnya melibatkan Kementerian Luar Negeri kita yang diketuai Datuk Seri Hishammuddin.
Sesiapa yang mengikuti rapat perkembangan di rantau Laut China Selatan pasti akan tahu bahawa negara kita saat ini berdepan tiga cabaran getir.
Pertama ialah China yang baru sahaja mencipta rekod penerbangan 10 jam pesawat pejuang Sukhoi SU-30 mereka di Laut China Selatan. Kejayaan China ini sekali gus melengkapkan persediaan Tentera Udara dan Tentera Laut mereka sebelum ini yang mengerahkan angkatan kapal induk pesawat (aircraft carrier) dan kapal selam nuklear Jin-Class dengan kekuatan udara di Laut China Selatan.
Bukan lagi rahsia bahawa dengan kapal pengawal pantai (CCG) dan kapal pemusnah (destroyer) sekali pun China terbukti mampu menceroboh Zon Maritim kita sebanyak 89 kali sejak tahun 2016.
Hal ini berkait dengan perkara kedua iaitu tuntutan Pentas Benua kita di PBB yang dicabar oleh China – dan kita baru sahaja mengeluarkan protes diplomatik terhadap China yang disifatkan pemerhati antarabangsa sebagai ‘luar biasa keras’.
Bagi mengurangkan ketegangan geopolitik dalam keadaan kita dan seluruh dunia sedang bergelut dengan Pandemik COVID-19, maka Datuk Seri Hishammuddin mengambil langkah proaktif menghubungi Menteri Luar China Wang Yi dan juga Setiausaha Amerika Syarikat, Mike Pompeo.
Namun begitu, pendirian kita agar persaingan geopolitik kedua-dua kuasa ketenteraan terkuat di dunia ini dikendurkan semakin tercabar dengan realiti ketiga: bukan sahaja China berterusan meningkatkan keupayaan dan kehadiran ketenteraan mereka di Laut China Selatan, bahkan dua negara Asia Tenggara lain iaitu Brunei dan Singapura baru sahaja menyertai latihan ketenteraan di Laut China Selatan bersama Amerika Syarikat dan Australia – latihan ini merupakan susulan kepada latihan Trilateral antara Amerika, Australia, dan Jepun.
Lebih memburukkan keadaan ialah Filipina bertindak mengulangi tuntutan mereka ke atas Sabah, diikuti kenyataan Setiausaha Agung Kesultanan Sulu bahawa mereka sedang mengusahakan tuntutan sama dengan tidak kurang 200 orang pengganas Sulu yang terlibat menyerang Lahad Datu pada tahun 2013 sedang kembali bersiap-sedia untuk menggerakkan sokongan 1 juta warga Sulu di Sabah.
Penegasan Datuk Seri Hishammuddin di Parlimen hari ini bahawa Sabah akan kekal sebagai milik Malaysia serta usaha beliau menghubungi Menteri Luar China Wang Yi dan Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo semuanya berlaku dalam masa 24 jam.
Sesungguhnya diplomasi ialah barisan pertahanan kita yang pertama. Maka sebagai Menteri yang bertanggungjawab mengemudi barisan hadapan pertahanan kita ini, jelas Datuk Seri Hishammuddin berdepan begitu banyak cabaran dan tekanan dalam masa yang singkat.
Pakar psikologi boleh mengesahkan bahawa individu yang menghisap rokok atau vape sebenarnya berkemungkinan sedang cuba untuk meredakan tekanan besar yang sedang mereka hadapi. Namun Vape bukanlah satu-satunya kaedah mengurangkan tekanan.
Maka sama-sama kita nasihati beliau agar mengurangkan tabiat vape dan memilih kaedah lain yang lebih baik untuk kesihatan. Semoga Allah memelihara beliau dan seluruh warga Kementerian Luar Negeri kita yang bekerja keras di sebalik tabir demi kepentingan negara kita.
PenggerakDaily
Abdul Muein Abadi merupakan Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Penggerak Daily