Oleh: Ahmad Roi
Orang Selangor tengah dicengkam masalah air. Bagai Aidilfitri, masalah ini datang setiap tahun. Tapi pembaca jangan silap, tulisan ini bukan nak komen siapa tak uruskan keperluan asas ini dengan betul. Itu lain kali.
Kali ini Roi cerita pasal air dan budaya kita, di nusantara. Air bukan isu main-main. Sebabkan dia bukan main-main, isu air bukan takat siapa tak mandi dan berapa kadar bil sebulan.
Air keperluan asas manusia. Kalau putus internet, kita boleh baca buku minum kopi lagi, tapi kalau tanpa air, perit!
Manusia normal mampu hidup 92 hari tanpa makanan, tapi tidak mampu bertahan lebih 72 jam tanpa air. 60 peratus hingga 70 peratus dari berat badan manusia terdiri dari air. Dari dalam perut sampai kulit, perlukan air.
Empat tamadun besar dunia muncul di tepian sungai – salah satu sumber air tawar. Sungai Tigris, Sungai Nil, Sungai Kuning (Ho) dan Sungai Gangga jadi saksi bermulanya tamadun Mesopotamia, Mesir, Cina dan India. Tamadun ini terus berkembang bagai sungai terus mengalir.
Bagi tradisi masyarakat Nusantara, air bukan saja cecair penting yang tersimbol sebagai H20, malah konsep ‘air’ turut mengalir dalam agama, budaya dan bahasa masyarakat sebelah sini. Melalui agama (Islam) kita diajar perihal air mutlak, air musta’mal serta wudu’.
Kalau bukan kerana air (sungai dan laut), orang Nusantara tidak terkenal handal dengan kemahiran menguasai perairan dan teknologi membuat jong. Dalam Catatan Kerajaan Budha, kapal yang disebut sebagai Jong dianggarkan panjangnya 200 kaki dan boleh membawa muatan 600 sehingga 700 orang. Handal!
Dalam bahasa, sifat air selalu digunakan untuk perihalkan dunia. Macam ‘tenang’ dan ‘akrab’ – Tenang bagai air di kali/bagai air dicincang tidakkan putus.
Intimnya kita dengan air, sampaikan kita meminjam sifat air untuk mencapai makna dan faham sesuatu yang abstrak.
Dalam intim kita curang.
Berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2017, sebanyak 51 sungai tercemar di seluruh Malaysia berpunca dari aktiviti industri, kumbahan, penternakan dan dijadikan kawasan pembuangan sampah.
Terbaru, April 2019, kajian yang dijalankan Pusat Pengajian Sains Marin (UMT) mendapati pencemaran logam berat seperti arsenik, kadmium, plumbum dan merkuri banyak dikesan di kawasan muara sungai dan pelabuhan di sepanjang Selat Melaka.
Kita bertuah kerana Malaysia dilimpahkan sumber air tawar dengan purata tahunan 324 bilion meter padu air hujan, tapi kualiti air sungai makin terjejas. Proses pembangunan melalui aktiviti korek pasir, tarah bukit dan pembalakan punca kemusnahan kawasan tadahan air hujan. Akibatnya sungai jadi tong sampah semulajadi.
Pembangunan material menjadikan kita lupa dan sombong, apatah lagi zaman moden ini kita tidak lagi bergantung kepada sungai sebagaimana masyarakat tradisi. Tapi, apakah kita juga lupa, manusia normal mampu hidup 92 hari tanpa makanan, tapi tidak mampu bertahan lebih 72 jam tanpa air.
PenggerakDaily