JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan mengambil sampel kesemua 20 sungai yang terdapat di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu setiap dua bulan sekali bagi memastikan isu pencemaran tidak berulang.
Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, setiap sungai melibatkan tiga pengambilan sampel berbeza iaitu masing-masing di kawasan hulu, tengah dan kuala
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan lokasi tepat yang telah tercemar, bagi membolehkan tindakan seterusnya dibuat dengan segera.
“Selain itu, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) juga telah menyediakan tiga langkah utama dalam mencegah pencemaran alam di kawasan PBT berkenaan.
“Ini termasuklah dengan memasang ‘log boom’ atau perangkap sampah, peranti ‘smart pole’ dan membina saluran utama (main drain),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Johor di Hotel Grand Paragon, di sini malam semalam.
Tambah Asman Shah, PBT itu juga akan memasang 200 peranti ‘smart pole’ di kilang dan sungai berisiko pencemaran termasuk Sungai Kim Kim bagi memantau serta mengesan aktiviti pencemaran secara lebih berkesan.
“Peranti yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu mempunyai kemudahan penggera selain akan mengeluarkan siren amaran sekiranya mengesan pencemaran di kawasan berhampiran.
“Sebagai permulaan, peranti bernilai antara RM50,000 sehingga RM100,000 itu akan dipasang di 20 kilang terpilih bermula Jun ini sebelum diperluas ke 200 lagi kilang dan sungai berisiko berlaku pencemaran,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut memberitahu pihaknya akan memohon kerjasama kerajaan negeri dan pusat dalam usaha memulihkan imej Pasir Gudang yang sebelum ini tercalar dengan insiden pencemaran.
Penggerak Daily