Categories
Alam Sekitar

PENCEMARAN BAU SUNGAI GONG : EMPAT PENGURUS KILANG DIREMAN ENAM HARI

KUALA LUMPUR, 5 Sept — Empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang direman enam hari bermula hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun itu direman sehingga Khamis depan.

“Kita mendapat perintah reman terhadap kesemua suspek selama enam hari untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Noor Azam berkata, keempat-empat suspek merupakan adik-beradik yang menguruskan kilang itu selepas kematian bapa mereka.

Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Nurul Mardhiah Mohamed Redza ke atas kesemua suspek.

Terdahulu, kesemua mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang kira-kira 9.45 pagi ini selepas ditahan malam tadi.

Noor Azam berkata tiga suspek ditahan di kediaman mereka di Selayang pada kira-kira 11.20 malam manakala seorang lagi suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bersama peguamnya pada 12.30 tengah malam tadi.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek dibawa ke Ibu IPD Gombak untuk siasatan selanjutnya.

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang itu pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *