Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya mengalu-alukan persetujuan antara kerajaan Sarawak dan PETRONAS itu dalam menyelesaikan isu berkaitan pengurusan minyak dan gas di negeri berkenaan melalui sebuah perjanjian komersial.
Beliau berkata, penyelesaian isu berkaitan pengurusan minyak dan gas itu, termasuk persetujuan berhubung pengenalan cukai jualan petroleum di Sarawak yang dicapai sebelum ini, yang akan membolehkan kerajaan negeri memperluaskan kutipan hasil untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan segenap lapisan rakyat.
Katanya, melalui perjanjian itu yang dimeterai di Kuala Lumpur, ia membolehkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), iaitu anak syarikat milik kerajaan Sarawak, berperanan lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan PETRONAS.
“Selain itu, ia bakal membuka peluang yang lebih luas kepada syarikat dalam industri khidmat minyak dan gas di Sarawak untuk menceburi lebih banyak bidang perniagaan berkaitan industri itu.
“Pada masa sama, PETRONAS akan terus berperanan sebagai syarikat minyak nasional dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Perdana Menteri berkata, persetujuan serta permuafakatan kedua-dua pihak dalam memetrai perjanjian komersial ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan menyelesaikan perkara itu secara bersama dengan Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata, pihaknya berharap penyelesaian isu itu bakal membuka lembaran baharu dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Selain memastikan pembangunan wilayah yang inklusif supaya nikmat pembangunan negara dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia secara adil dan saksama,” katanya.
Penggerakdaily