JOHOR BAHRU: Projek Tukun Tiruan Negeri Johor 2020 yang baharu dilancarkan dijangka akan dapat memanfaatkan seramai 830 orang yang terdiri daripada komuniti nelayan di negeri ini.
Pengarah Perikanan negeri, Noraishah Hashim berkata, projek itu dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM435,000 menerusi Rancangan Malaysia ke-11.
“Projek ini melibatkan sebanyak 17 unit tukun jenis penghalang pukat tunda yang diletakkan di lokasi 2 batu nautika dari Pulau Tinggi, Mersing.
“Tujuannya untuk memastikan sumber perikanan dipelihara dengan meletakkan peranti kawalan aktiviti perikanan, sekaligus memanfaatkan seramai 830 orang komuniti nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, projek ini juga dapat memastikan kesinambungan ekosistem marin khususnya di kawasan Taman Laut yang berhampiran.
Sementara itu, Noraishah turut memberitahu, tahun lalu pihaknya telah melabuhkan17 unit tukun rekreasi dan 17 unit tukun konservasi di perairan Pulau Lima pada tahun 2019.
Katanya, Jabatan Perikanan negeri akan terus melaksanakan usaha pemuliharaan bagi memastikan kelestarian sumber dan jaminan bekalan makanan negara terus terpelihara.
Penggerak Daily