JOHOR BAHRU: Kutipan sampah di kawasan perumahan seluruh negeri ini akan dipercepat sehari bagi memberi laluan kepada sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd., Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, sekiranya Aidilfitri jatuh pada 10 April, kutipan sampah akan dilaksana bermula 6 April hingga 9 April.
Menurut beliau, pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah sampah sehingga 20 peratus sempena Aidilfitri tahun ini.
“Seramai 4,500 kakitangan bersama 580 jentera kutipan sampah akan menjalankan tanggungjawab mereka di kesemua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.
“Jangkaan 20 peratus peningkatan jumlah sampah itu turut melibatkan sampah bersaiz besar seperti perabot. Jadi kita gesa mereka untuk letakkan sampah sedemikian di sebelah tong sampah bagi memudahkan kerja-kerja kutipan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Holiday Inn, di sini.
Tambah beliau, pihaknya turut menyasarkan 175 lokasi tumpuan bagi kerja-kerja kutipan sampah sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri tahun ini, khususnya kawasan berkepadatan tinggi penduduk beragama Islam.
“Antara kawasan itu termasuklah Tampoi, Kempas, Larkin, Bandar Tenggara, Kampung Melayu Majidee dan Taman Perling, selain kawasan pusat bandar dan juga laluan-laluan utama seluruh negeri.
“Sehubungan itu, kami meminta kerjasama orang ramai agar tidak meletakkan kenderaan dikawasan yang boleh menghalang pergerakan jentera kutipan sampah,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad pula memberitahu, pihaknya telah berjaya menyelamatkan 2,248.28 kilogram (kg) lebihan makanan dan minuman dari 46 Bazar Ramadan seluruh Johor, setakat kelmarin.
“Program tersebut dibuat menerusi kempen MySaveFood yang mula dilaksanakan sejak hari pertama masyarakat Muslim di negara ini berpuasa.
“Kesemua makanan dan minuman yang diselamatkan kemudiannya disumbangkan kepada golongan memerlukan termasuk di masjid dan juga institusi pengajian tinggi,” jelasnya.
Penggerak Daily