JOHOR BAHRU: Hanya 10 kes melibatkan kesalahan gagal mempamerkan tanda barangan harga yang dijual di rekodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor sepanjang tempoh sambutan Perayaan Krismas, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, 10 kes berkenaan direkodkan pihaknya bermula 22 Disember hingga hari ini.
Jelasnya, sepanjang tempoh sama, pihaknya turut menerima empat laporan melibatkan penjualan barang kawalan melebihi harga ditetapkan.
“Sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020, sebanyak 812 pemeriksaan telah dijalankan KPDNHEP Johor sejak 22 Disember lalu.
“Pemeriksaan ini meliputi 774 pemeriksaan yang dibuat di peringkat peruncit manakala 38 pemeriksaan di peringkat pemborong.
“Sehingga hari ini, sebanyak 10 kes telah direkodkan membabitkan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga pada barang jualan dengan jumlah kompaun dikeluarkan sebanyak RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Fat Full turut menyertai pemeriksaan yang dijalankan di Pasar Awam Tangkak. Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro.
Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 yang bermula sejak 22 Disember hingga 31 Disember itu melibatkan sejumlah 14 jenis barangan yang terpilih.
Antara barangan harga terkawal termasuklah ayam, ayam belanda, telur ayam, daging kambing, lada benggala hijau, tomato, lobak merah dan ubi kentang import.
Tambah beliau, kesemua barangan terpilih itu mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat khususnya mereka yang menyambut perayaan Krismas.
“Oleh itu, kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran agar sentiasa memenuhi keperluan pengguna,” ujarnya.
Penggerak Daily