JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menyempurnakan Majlis Sambutan Perasmian 100 Tahun Tambak Johor yang diadakan di titik sempadan tambak antara Malaysia dan Singapura, pagi tadi.
Baginda turut berkenan menyaksikan pelepasan 100 ekor burung merpati sebagai simbolik upacara berkenaan yang dilepas bersama antara Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan.
Onn Hafiz berkata, majlis itu sangat signifikan khususnya untuk warga Johor dan Singapura yang menandakan hubungan akrab kedua-dua pihak.
“Kami berharap majlis ini akan kukuhkan lagi semangat persaudaraan dan kejiranan antara Malaysia dan Singapura, serta Johor,” katanya kepada pemberita.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan Pengerusi Pusat Kelestarian Johor (JSC), Datuk Seri Hasni Mohammad.
Kedua-dua delegasi melibatkan kepimpinan kerajaan negeri Johor dan kerajaan Singapura turut bertukar cenderahati.
Program berkenaan yang berlangsung serba ringkas itu tamat pada pukul 9.05 pagi.
Setelah keberangkatan pulang Pemangku Sultan Johor, delegasi kehormat lain meneruskan lawatan ke Pameran Sambutan 100 Tahun Perasmian Tambak Johor di Muzium Tokoh Johor, Bukit Senyum, di sini.
Delegasi diketuai Onn Hafiz itu kemudian berangkat ke Masjid Temenggong Ibrahim, Teluk Blangah, Singapura untuk menunaikan solat Jumaat sebelum meneruskan lawatan ke Pameran Sambutan 100 Tahun Tambak Johor di Woodlands Civic Centre, Singapura.
Tambak Johor atau turut dikenali sebagai Koswe itu merupakan sambungan darat pertama antara Malaysia dan Singapura melibatkan jarak laluan sepanjang 1,056 meter.
Selepas satu abad beroperasi, laluan itu menjadi sempadan darat tersibuk di dunia dengan dianggarkan seramai 350,000 pengembara berulang alik antara kedua-dua negara, setiap hari.
Selain menyediakan laluan bagi kenderaan bermotor, Tambak Johor itu turut menempatkan laluan keretapi dan juga paip yang membekalkan air mentah kepada Singapura.
Penggerak Daily