JOHOR BAHRU: Kesemua 107 menara telekomunikasi baharu bagi pelaksanaan program Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 di negeri ini telah siap dibina sepenuhnya.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Johor, Nurzie Ibrahim berkata, 91 daripadanya telah ‘on air’ sekaligus meningkatkan jaringan internet dalam dan luar bandar.
Menurut beliau, baki 16 menara dijangka akan beroperasi pada suku ketiga tahun ini.
“Dengan adanya infrastruktur yang canggih dan perkhidmatan yang berkualiti ini, ia secara tidak langsung mengurangkan jurang digital antara masyarakat dalam negara.
“Telekomunikasi adalah nadi kepada kemajuan ekonomi dan sosial, kita dapat menghubungkan masyarakat, mempercepat penyebaran maklumat dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pemuktamadan Penyerahan 107 Menara Jendela Fasa 1 Negeri Johor di Hotel Holiday Inn, di sini hari ini.
Mersing dan Kota Tinggi merupakan daerah dengan jumlah menara telekomunikasi Jendela Fasa 1 tertinggi iaitu 22 menara masing-masing diikuti Pontian (12 menara); Kluang (11 menara); Segamat (10 menara); Batu Pahat (9 menara); Muar (8 menara); Tangkak (7 menara); Johor Bahru (4 menara) dan Kulai (2 menara).
Tambah Nurzie, pihaknya kekal komited dengan tanggungjawab memastikan sektor itu terus berkembang bagi memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Pada 14 Disember lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan memberitahu sebanyak 1,385 daripada keseluruhan 1,661 menara Jendela Fasa 1 telah siap.
Menurut beliau, hanya 808 daripada keseluruhan menara itu telah beroperasi dalam tempoh dua tahun lebih sejak projek Jendela dilaksana.
Penggerak Daily