JOHOR BAHRU: Seramai 1,074 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memastikan proses penamaan calon sempena (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini, berjalan lancar.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pegawai dan anggota terlibat akan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan juga pergerakan lalu lintas di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.
“Pasukan ini akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memantau situasi dan mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Sehubungan itu, polis Johor menasihatkan calon dan penyokong parti terlibat untuk mematuhi undang-undang dan peraturan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dengan melakukan perbuatan menyalahi undang-undang negara.
“Orang ramai diminta bersikap matang, hormat menghormati dan mengelakkan sebarang provokasi melampau bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku,” ujarnya lanjut.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Mahkota akan diadakan pada 28 September ini, dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 14 September, manakala tarikh undi awal pada 24 September.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Penggerak Daily