JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor telah mengeluarkan 12 notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 201 kepada peniaga ayam di negeri ini.
Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, notis itu dikeluarkan bagi tujuan mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.
Menurut beliau, notis berkenaan dikeluarkan kepada empat peladang, empat pemborong dan empat peniaga.
“KPDNHEP Johor maklum aduan berkaitan kenaikan harga ayam terutamanya di lokasi tumpuan yang menjual ayam seperti pasar basah, pasar awam, pasar tani dan juga pasaraya.
“Susulan pemeriksaan bermula 8 September, 12 notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga ayam di Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan itu bertujuan memantau kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat iaitu ayam di peringkat pembekalan barang secara berterusan mengikut rantaian pengedaran.
“Pemeriksaan akan dibuat dengan memeriksa maklumat harga dan kos barangan di peringkat pembekalan barangan yang terdiri daripada peruncit dan pembekal agar harga tidak dinaikkan sewenang-wenangnya,” ujarnya.
Tambah Mohd. Hairul Anuar, sejak 1 Januari hingga 8 September tahun ini, sebanyak 10,165 premis telah diperiksa meliputi 8,667 peruncit; 1,195 pemborong dan 303 pengilang di seluruh negeri.
“Susulan pemeriksaan itu, 181 notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.
“Sehubungan itu, peniaga digesa untuk mematuhi undang-undang manakala peniaga yang disyaki melakukan aktiviti mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan akan diambil tindakan tegas,” jelasnya.
Baru-baru ini, media tempatan melaporkan terdapat peningkatan harga ayam yang dijual di pasaran seluruh negara sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap barangan berkenaan.
Penggerak Daily