KULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor telah menahan seramai 125 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa serbuan yang dijalankan di sekitar Senai, di sini semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, kesemua PATI itu ditahan menerusi serbuan Ops Mahir; Ops Selera; Ops Belanja; Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan bermula pukul 11 pagi dan 3.50 petang.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan dipercayai bekerja tanpa permit sah dan telah menetap lebih masa di negara ini.
“Menerusi Ops Mahir yang dijalankan di sebuah kilang, seramai 328 warga asing telah diperiksa sebelum 85 PATI berusia antara 20 hingga 47 tahun ditahan.
“Kemudian menerusi operasi lain yang menyasarkan kawasan tumpuan sekitar, seramai 110 warga asing diperiksa dan 40 daripada mereka yang berusia antara 19 hingga 57 tahun telah ditahan.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan antaranya Myanmar, Bangladesh, Pakistan, Nepal, India dan Sri Lanka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Baharuddin, selain itu, pihaknya turut menahan seorang wanita tempatan berusia 42 tahun mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin.
“Manakala tangkapan terhadap PATI dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Seorang PATI warga juga ditahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Sementara itu, Baharuddin turut menegaskan pihaknya komited untuk terus memperkasa undang-undang Imigresen di negeri ini khususnya melibatkan kawasan yang menjadi ‘hotspot’ warga asing.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di negara ini,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily