JOHOR BAHRU: Johor menyaksikan pertambahan 14 kes Covid-19 baharu dilaporkan semalam, dimana empat kes terdiri daripada kluster sedia ada di negeri ini manakala 10 yang lain merupakan kontak rapat kes sedia ada.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, pertambahan itu menyaksikan kumulatif kes Covid-19 di Johor sebanyak 1,016 kes.
Menurutnya, manakala jumlah kematian akibat pandemik itu di negeri ini kekal 21 sehingga hari ini.
“Daripada 1,016 kes, 910 kes telah pulih iaitu 89.6 peratus, dengan 85 kes yang aktif telah diasing dan sedang diberi rawatan di hospital.
“Jumlah kluster aktif di Johor kekal sebanyak lima kluster iaitu Kluster Jeri, Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Padang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Vidyananthan turut memberitahu, jumlah kemasukan ke negara ini menerusi skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) adalah seramai 2,319 manakala bagi skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) melibatkan seramai 13,672, setakat semalam.
“Daripada jumlah tersebut, kes positif Covid-19 yang direkodkan kekal seramai 3 orang,” ujarnya lanjut.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus mengamalkan norma baharu yang telah diperkenalkan iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan diri.
“Kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ini akan mengurangkan risiko penularan dalam kalangan masyarakat.
“Masyarakat juga diharap dapat memberi kerjasama kepada jabatan kerajaan yang berkaitan untuk melakukan tugas tanpa halangan untuk memastikan sebarang tindakan diambil berkesan,” tambahnya.
Penggerak Daily