JOHOR BAHRU: Sejumlah 14 sekatan jalan raya (SJR) yang dibuka berhubung pelaksanaan Ops Benteng akan dikekalkan di negeri ini selepas kebenaran rentas negeri dibuat kerajaan apabila kadar suntikan vaksin Covid-19 melepasi 90 peratus populasi penduduk dewasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah SJR itu dikurangkan berbanding 31 SJR yang masih beroperasi di seluruh negeri ketika ini.
Katanya, 14 SJR itu adalah bertujuan untuk pemantauan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diadakan secara bersepadu dengan beberapa agensi penguatkuasaan lain.
“Ketika ini masih terdapat 31 SJR yang beroperasi seluruh negeri, namun selepas kebenaran rentas negeri diberikan, hanya 14 SJR akan kekal iaitu yang melibatkan Ops Benteng.
“Ops Benteng ini tiada kaitan dengan Covid-19 sebaliknya ia berkaitan dengan penyeludupan PATI, barangan kontraban dan sebagainya. Jadi ia menumpu kepada menanganinya isu penyeludupan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kebenaran merentas negeri akan dilaksanakan serentak di seluruh negara yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan pasukan pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditubuhkan pihaknya akan terus melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan bagi memastikan masyarakat awam mematuhi SOP ditetapkan.
“Seperti biasa, kita akan terus melakukan pemantauan dan ia akan turut dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Buat waktu ini kita masih dalam usaha menasihati dan mendidik masyarakat namun sekiranya mereka masih berdegil, tindakan akan diambil mengikut undang-undang,” ujarnya.
Penggerak Daily