ISKANDAR PUTERI: Dianggarkan seramai 1,440 pengembara akan dibenar untuk merentas sempadan Malaysia-Singapura melalui pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat dalam tempoh seminggu pertama pembukaannya.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, jumlah pengembara yang dibenarkan kemudian akan ditambah kepada seramai 2,500 orang dan 5,000 orang pada minggu-minggu berikutnya.
Sehubungan itu pihaknya berharap pembukaan VTL darat yang dijadualkan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini tidak akan ditangguh.
“Jumlah pengembara yang akan dibenarkan merentasi sempadan melalui VTL darat ketika pembukaannya bukan soal utama, sama ada sedikit atau banyak.
“Apa yang penting adalah kita buka dahulu laluan sempadan darat berkenaan dan memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksana untuk memastikan ‘safe travel’ semua pihak terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya); Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu) dan Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) berhubung SOP, pelaksanaan inisiatif VTL darat dan jumlah pengembara yang akan dibenarkan agar bersesuaian dengan kemampuan saringan.
Hasni yang juga merupakan ADUN Benut berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.
Tambah beliau, kerajaan bagaimanapun sedang memuktamadkan sama ada pengembara berkenaan hanya akan dibenar menggunakan pengangkutan awam atau turut dibenar menggunakan kenderaan persendirian.
“Johor sudah bersedia untuk pembukaan VTL darat ini dimana kita telah memberi cadangan SOP dan juga sistem yang bersesuaian untuk digunakan, antaranya sistem ‘Johor Travel Safe’ yang telah dibangunkan kerajaan negeri.
“Sistem itu sebelum ini dibangunkan untuk membantu kerajaan persekutuan ketika pelaksanaan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) melibatkan seramai 2,000 orang sehari dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) melibatkan seramai 400 orang seminggu,” ujarnya.
Sementara itu, Hasni turut memberitahu pihaknya berharap VTL darat akan melibatkan kategori pengembara yang sama dengan VTL udara.
“Bagi memastikan SOP dilaksana bersesuaian dengan pembukaan itu, satu ujian percubaan akan dilaksanakan pada 22 November ini (esok).
“Selain itu, pelbagai isu perlu diberi penekanan termasuk pengiktirafan sijil vaksinasi di antara dua negara, kapasiti Tambak Johor dan juga LinKedua, kebenaran mengakses maklumat status vaksinasi, perjalanan bebas kuarantin dan pematuhan SOP kesihatan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Hasni turut memberitahu pembukaan semula sempadan melalui VTL darat itu merupakan satu langkah progresif yang berupaya memulih ekonomi kedua-dua negara terutama Johor.
Penggerak Daily