JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad memaklumkan kerajaan negeri akan melantik seramai 150 mahasiswa dari negeri ini sebagai Duta Perpaduan Johor.
Menurut beliau, Duta Perpaduan Johor itu perlu berdaya saing, mempunyai jati diri dan semangat patriotisme yang tinggi untuk membimbing generasi akan datang.
“Lima prinsip Rukun Negara harus menjadi wadah utama dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita yang tercinta ini.
“Nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan juga hendaklah disemai dan dipupuk kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Webinar Perpaduan Rukun Negara: Sebagai Ideologi Kebangsaan Antara Kefahaman Awal dan Kefahaman Terkini yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.
Turut terlibat, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr. Chong Fatt Full dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.
Tambah Hasni, kefahaman berhubung perpaduan sudah berbeza dengan peredaran masa khususnya dengan kewujudan teknologi maklumat melalui penggunaan internet.
“Sudah terang lagi bersuluh, media sosial menunjukkan pengaruh yang besar dalam penyebaran pelbagai maklumat dan isu sama ada yang membina mahupun meruntuhkan hubungan antara kaum.
“Menyedari hakikat ini, kita perlu menyebar luas pendidikan berpaksi perpaduan serta membina semangat kebersamaan pelbagai kaum supaya lebih matang dalam menangani isu berkait dengan hubungan kaum dan perpaduan,” ujarnya.
Tambahnya, pendedahan terhadap isu globalisasi turut menjadikan masyarakat semakin kompleks dan memberi kesan langsung dalam hubungan antara kaum sekaligus memerlukan sebarang permasalahan berbangkit ditangani dengan bijaksana dan berhemah.
Penggerak Daily