ISKANDAR PUTERI: Sejumlah 150 buah sekolah agama di negeri ini telah dikenalpasti sebagai berada dalam keadaan kritikal yang memerlukan usaha membaik pulih dengan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, sesebuah sekolah itu dikategorikan sebagai kritikal melibatkan aspek pendawaian, bumbung dan tandas sekolah.
Sehubungan itu katanya, RM3 juta telah diperuntukkan untuk membaik pulih 50 buah sekolah, tahun ini.
“Kerajaan negeri menerima permohonan untuk membaiki antara 150 hingga 200 buah sekolah daripada keseluruhan 583 jauh sekolah agama di negeri ini yang akan dikategori sebagai kritikal dan tidak kritikal.
“Tahun ini 50 buah sekolah telah dibaik pulih, manakala 100 buah sekolah yang lain akan dilaksanakan tahun depan dengan peruntukan RM12 juta hasil kerjasama kerajaan negeri dan pelbagai agensi antaranya Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan lain-lain,” katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) berhubung apakah usaha diambil kerajaan dalam meningkatkan kemudahan di sekolah agama yang telah usang.
Mohd. Fared yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu turut memberitahu, MAINJ telah memperuntukkan RM2.5 juta bagi memberi manfaat kepada 158 buah sekolah melibatkan penggantian 9,370 perabot termasuk meja dan kerusi murid serta meja dan kerusi kantin, tahun ini.
“Sementara itu, peruntukan bagi tujuan tersebut juga akan dinaikkan kepada RM3 juta pada tahun depan.
“Kita juga telah memantau tandas di 583 buah sekolah agama dan mendapati terdapat 3,800 kerosakan merangkumi pam tandas, pintu tandas, tandas tersumbat dan lain-lain yang menelan kos sebanyak RM500.000 untuk dibaik pulih,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Fared juga ambil maklum kekurangan guru di sekolah agama ekoran perpindahan guru-guru ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), guru bersara dan guru meninggal dunia.
“Setakat ini terdapat kekosongan penjawatan guru sekolah agama sebanyak 658 waran bagi gred DG29 dan 74 waran bagi gred DG41. Usaha telah diambil untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan demi kesejahteraan dan kelancaran pendidikan sekolah agama di negeri ini,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily