JOHOR BAHRU: Seramai 16 anggota polis dan seorang pegawai awam dari Balai Polis Parit Sulong, Batu Pahat diarah menjalani kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat lima anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat yang disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 16 daripadanya telah menjalani ujian saringan swab test semalam manakala seorang lagi akan menjalani ujian berkenaan hari ini.
“Balai Polis Parit Sulong bagaimanapun tidak akan ditutup dan akan terus beroperasi seperti biasa.
“Bagi membantu pengurusan di balai berkenaan, anggota dari Balai Polis (BP) Semerah, Yong Peng dan Sri Medan akan dipanggil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Batu Pahat, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.
Sebelum ini dilaporkan tujuh anggota dan pegawai polis Johor disahkan positif Covid-19 membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri.
Susulan itu seramai 138 anggota dan pegawai di IPD terjejas diarahkan melakukan kuarantin di rumah bermula 29 dan 30 November lalu.
Difahamkan, seramai lima individu membabitkan anggota polis dan pegawai awam di IPD Batu Pahat disahkan positif Covid-19.
Sementara itu, Ayob Khan turut memberitahu, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dikuatkuasakan semula di Johor Bahru dan Batu Pahat bermula hari ini.
“Walaupun tiada larangan rentas daerah, namun masih ada 13 sekatan jalan raya (SJR) daripada keseluruhan 23 yang dibuat di negeri ini masih kekal beroperasi.
“SJR yang dikekalkan ini melibatkan Ops Benteng yang bertujuan untuk mengekang penyeludupan migran sama ada menerusi pantai Timur atau pantai Barat Johor,” ujarnya.
Tambah beliau, sehubungan itu pihaknya mengingatkan orang awam untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam norma baharu bagi memutuskan penularan Covid-19 di negeri ini.
“Penguatkuasaan di Johor Bahru melibatkan IPD Johor Bahru Selatan, IPD Johor Bahru Utara, IPD Iskandar Puteri dan IPD Seri Alam manakala di Batu Pahat serta Kulai dilakukan IPD masing-masing,” tambahnya lagi.
Penggerak Daily