ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mempamerkan 16 buah kenderaan yang digunakan baginda secara rasmi sepanjang penganjuran program Kembara Mahkota Johor (KMJ) sejak tahun 2000 di Festival Majestic Johor (FMJ) 2022, di sini.
Setiausaha Sekretariat KMJ, Hishamuddin Abdul Rahim berkata, pameran berkenaan bertujuan untuk mengubat kerinduan rakyat negeri ini terhadap program yang kali terakhir diadakan pada 2019 lalu.
Menurut beliau, selain itu, pihaknya turut menyediakan lebih daripada 10,000 ‘goodies bag’ untuk diagihkan kepada pengunjung secara percuma sepanjang tempoh 11 hari pameran berkenaan berlangsung.
“Bersempena dengan festival ini, kita mengetengahkan 16 buah kenderaan yang pernah digunakan Baginda dan juga anakanda-anakanda sepanjang penganjuran program KMJ sejak tahun pertama diadakan iaitu pada tahun 2000.
“Antaranya kenderaan yang dipamerkan termasuklah motosikal jenis Harley Davidson, edisi Road King Asian Tiger yang digunakan baginda dalam penganjuran KMJ yang pertama.
“Selain itu, kenderaan lain yang boleh ditonton pengunjung adalah lori Mack, empat buah Morgan, tujuh buah motosikal berkuasa tinggi, dua buah karavan, kenderaan pacuan empat roda dan juga sebuah bas jenis ‘coach’.
“Tuanku berkenan untuk mempamerkan kenderaan-kenderaan ini kepada pengundi bagi mengubati kerinduan orang ramai terhadap program KMJ, ini kerana kali terakhir ia diadakan adalah pada 2019, sebelum terpaksa dihentikan akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Tambah Hishamuddin, jumlah kenderaan yang akan dipamerkan di festival berkenaan turut dijangka akan ditambah dari semasa ke semasa agar lebih ramai pengunjung dapat mengenalpasti kenderaan-kenderaan yang pernah digunakan baginda sepanjang KMJ.
Selain itu, Hishamuddin memberitahu, pihaknya turut menyediakan lebih daripada 10,000 ‘goodies bag’ untuk diagihkan secara percuma kepada pengunjung yang mengunjungi pameran berkenaan.
“Dalam ‘goodies bag’ ini, kita agihkan buku nota, key-chain dan lanyard bertemakan program KMJ secara percuma kepada pengunjung terawal yang hadir.
“Selain itu, pameran ini turut menampilkan 10 pemberian istimewa yang diterima Sultan Ibrahim daripada pelbagai daerah yang dikunjungi baginda ketika melakukan program kembara berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hishamuddin turut berkata, orang ramai juga boleh mendapat barangan cenderamata berkaitan program KMJ dengan mengunjungi gerai jualan yang disediakan di dalam ruang pameran.
“Selain itu, gerai berkenaan turut menjual barangan cenderamata daripada Muzium Diraja Abu Bakar seperti keychain, t-shirt, buku program KMJ dan lain-lain.
“Istimewanya, semua barangan ini hanya boleh dibeli apabila ada majlis-majlis tertentu seperti festival ini, dan tidak dijual secara harian,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim memberitahu FMJ 2022 dijangka akan menarik kehadiran seramai antara 500,000 hingga 700,000 pengunjung domestik dan luar negara.
“Terdapat sebanyak 32 acara utama dianjurkan sepanjang festival ini termasuklah pertunjukan sukan tempur Muay Thai, persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan konsert artis terkenal tanah air,” katanya.
Festival yang berlangsung mulai hari ini hingga 18 September ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), UEM Sunrise dan Iskandar Puteri Tourism Action Council (IPTAC).
Penggerak Daily