MOSCOW, 12 Ogos — Rusia sudah menerima permintaan daripada 20 negara untuk pengeluaran 1 bilion dos vaksin COVID-19, kata ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia Kirill Dmitriev.
“Banyak negara luar berminat terhadap vaksin Rusia yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Kebangsaan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya.
“Kami telah menerima permintaan awal untuk pembelian lebih 1 bilion dos vaksin dari 20 negara. Kami bersedia memastikan pengeluaran lebih 500 juta dos vaksin bersama dengan rakan asing kami di lima negara, dan merancang untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran,” katanya.
Menurut Dmitriev, setakat hari ini, beberapa negara Amerika Latin, Timur Tengah dan Asia menyuarakan minat untuk membeli vaksin Rusia, lapor Agensi Berita Rusia TASS.
Beberapa kontrak juga telah dimuktamadkan.
Beliau berkata RDIF bersetuju untuk mengadakan ujian klinikal tahap ketiga vaksin COVID-19 di luar negara dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan negara-negara lain.
— BERNAMA