JOHOR BAHRU: Sebanyak 217 institusi pendidikan Islam bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan ditutup sementara bermula esok, 1 November hingga 14 November depan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, arahan itu dikeluarkan ekoran Johor Bahru diklasifikasikan sebagai zon merah sejak kelmarin.
Katanya, penutupan itu melibatkan institusi yang berada di Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.
“Institusi terlibat termasuklah Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), Tadika Agama Johor, Sekolah Agama Kerajaan Johor, Maahad Johor dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
“Arahan ini turut melibatkan Madrasah Tahfiz Swasta, Sekolah Rendah Agama Swasta, Sekolah Menengah Agama Swasta dan Madrasah Malabar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan daerah Johor Bahru sebagai zon merah ekoran berlaku peningkatan kes Covid-19 di kawasan sekitar, termasuklah kewujudan beberapa kluster antaranya Kluster Kempas, Kluster Rinting dan Kluster Bayu.
Menurut Tosrin lagi, arahan penutupan itu juga selari dengan keputusan diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menutup institusi pendidikan kelolaan kerajaan pusat.
“Sebanyak 376 institusi pendidikan di zon merah negeri ini melibatkan prasekolah, sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan dan juga sekolah antarabangsa.”
Bahagian Pendidikan Islam JAINJ akan sentiasa memantau penularan berkaitan Covid-19 di negeri ini dan akan memaklumkan sebarang maklumat baharu dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Senarai institusi pendidikan yang ditutup KPM akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan dimuat naik di portal rasmi KPM di www.moe.gov.my serta platform media sosial rasmi kementerian berkenaan.