JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengenalpasti 24 lokasi ‘hot spot’ kejadian banjir kilat di sekitar bandar raya ini akibat bencana banjir kilat yang berlaku pada 30 September lalu.
MBJB dalam satu kenyataan memberitahu, sehubungan itu pihaknya telah merangka pelan komprehensif untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, 18 lokasi berkenaan adalah dibawah seliaan MBJB manakala enam lokasi lagi adalah di bawah seliaan agensi kerajaan lain.
“Sehubungan itu, MBJB telah merangka pelan tindakan penyelesaian secara komprehensif yang akan dilaksanakan untuk mengatasi masalah berkenaan dalam jangka masa pendek, sederhana dan jangka masa panjang.
“Pelan jangka pendek melibatkan pembersihan di lokasi terlibat seperti di dalam longkang, parit serta saliran air utama selain membersihkan sisa runtuhan struktur dan tembok batu.
“Pelan jangka sederhana adalah MBJB telah memulakan proses penyediaan dokumen sebut harga dan tender untuk pelaksanaan kerja penggalian mendapan serta pembersihan di dasar parit dan saliran utama di dalam kawasan MBJB.
“Manakala pelan jangka masa panjang pula melibatkan kajian bagi memastikan kejadian banjir di kawasan hot spot ini tidak berulang melalui pembinaan struktur kolam takungan dan sistem pam di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti,” jelas kenyataan itu.
Pada 30 September lalu, seramai kira-kira 1,600 penduduk di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru dilanda banjir kilat antaranya melibatkan kawasan Sungai Chat, Kampung Md. Amin, Kampung Pasir, Kempas Lurah, Kempas Permatang, Kampung Ubi, Jalan Tiong Larkin Jaya, Larkin Idaman, Taman Majidee.
Menurut MBJB lagi, satu penyelesaian bersepadu di antara pihaknya dengan agensi kerajaan dan pemaju lain perlu diselaras untuk menyelesaikan isu berkaitan parit dan saliran di dalam kawasan MBJB.
“Selain itu, sistem tebatan banjir juga perlu dibangunkan untuk mengelakkan kejadian banjir daripada berulang,” tambah kenyataan itu yang turut meminta kerjasama warga bandar raya untuk menjaga kebersihan alam dengan tidak membuang sampah dan mana-mana sisa domestik di dalam atau berhampiran saliran utama.
Pada 30 September lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan kajian segera di kawasan kerap berlaku banjir di negeri ini untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
Penggerak Daily