PASIR GUDANG: Seramai 32 anggota bomba telah dikerah untuk mengawal dan memadam kebakaran melibatkan dua buah kilang di Jalan Masai Lama, di sini semalam.
Komander Operasi, Ketua Zon 1, Penolong Kanan Penguasa Bomba I, Mohd. Tilmizi Mustapha berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.18 malam.
Katanya, sehubungan itu seramai 32 pegawai dan anggota serta enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau dan Johor Jaya digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati dua buah kilang iaitu kilang membuat lilin dan kilang memproses air mineral telah terbakar kira-kira 80 peratus kedua-duanya.
“Anggota bomba bertindak mengawal kebakaran di kedua-dua kilang tersebut bagi memastikan api tidak terus merebak ke bangunan bersebelahan.
“Usaha memadam api dilakukan dengan pihak bomba akhirnya berjaya mengawal kebakaran pada pukul 12.07 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Tilmizi, kebakaran tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan terhadap mangsa.
“Ketika ini, usaha memadamkannya api sepenuhnya masih diteruskan manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Penggerak Daily