JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa negeri ini telah menyelamatkan seramai 30 kanak kanak dan remaja menerusi sebuah yang dijalankan terhadap lapan premis dimiliki GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua mereka diselamatkan dalam serbuan dijalankan di lima daerah negeri ini iaitu Johor Bahru, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Mersing.
Katanya, dalam operasi yang dijalankan pada 20 dan 21 September lalu itu, seramai 29 individu telah dikenakan tahanan reman.
“Lapan daripada mereka ditahan semula kerana disyaki memiliki buku berkaitan Aurah Muhammadiyah. Memiliki atau menyimpan risalah yang telah diwartakan haram merupakan kesalahan dibawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 Seksyen 9, Mengingkari Pihak Berkuasa dan Seksyen 13, penerbitan bersalahan dengan hukum syarak.
“Manakala kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam operasi tersebut telah ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh sebulan. Peruntukan sebanyak RM20,000 telah diberi bagi keperluan pakaian dan buku pelajaran mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, pemeriksaan pihaknya mendapati GISBH mempunyai pemilikan terhadap 43 premis di seluruh negeri ini.
“Kerajaan Johor memandang serius dakwaan berkaitan GISBH sepertimana yang sedang tular baru-baru ini. Bagi memelihara kemuliaan dan kesucian Islam serta keselamatan dan kebajikan rakyat, satu operasi bersepadu telah dijalankan.
“Operasi ini dijalankan kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan JKM,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam.
“MAINJ melalui Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor yang ke-275 juga telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut-Pengikut GISBH.
“Penubuhan jawatankuasa ini berperanan merangka gerak kerja pemulihan akidah individu terlibat. Jawatankuasa ini juga bertujuan menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISBH,” ujarnya lanjut.
Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September lalu, lebih 300 orang termasuk pengurusan GISBH ditahan dan 572 mangsa diselamatkan serta lapan individu telah dituduh di mahkamah atas 33 pertuduhan.
Sebanyak 280 premis GISBH juga telah diperiksa menerusi fasa 4 Op Global yang bermula pada 21 September lalu.
Op Global dilaksanakan bagi membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaksuban agama yang dikaitkan dengan GISBH.
Penggerak Daily