JOHOR BAHRU: Seramai 3,000 sukarelawan Southern Volunteers (SV) telah digerakkan untuk membantu menjalankan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di seluruh negeri, bermula semalam.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk On Jabbar, operasi pembersihan besar-besaran dibuat bagi membantu persiapan mangsa-mangsa banjir menjelang sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Katanya, sukarelawan yang terlibat terdiri daripada penuntut universiti, ahli persatuan belia, ahli jawatankuasa penduduk setempat serta kakitangan kerajaan.
“Kami turut mendapatkan bantuan dan kerjasama anggota tentera termasuklah aset-aset mereka seperti jentera pancutan air dan lori bagi membantu operasi pembersihan ini.
“Kerja pembersihan akan bermula di Johor Bahru iaitu daerah paling teruk terjejas, sebelum digerakkan ke daerah-daerah lain dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Tambah On, matlamat operasi pembersihan pasca banjir kali ini adalah untuk menyiapkan kerja-kerja berkaitan dalam tempoh seminggu iaitu sebelum sambutan Aidilfitri.
“Kami hanya ada tempoh masa seminggu, operasi pembersihan bermula seawal pukul 9 pagi, dan akan dihentikan sebelum berbuka puasa. Sasaran kita kerja pembersihan selesai sepenuhnya menjelang Aidilfitri,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily