Oleh: Editorial Penggerak Daily
Sejak Januari hingga Ogos lalu, Polis Johor telah membuka 398 kertas siasatan berhubung pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long.
Kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay “kertas siasatan itu merangkumi 118 kes disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Johor, manakala 280 kes disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor”,
“Antara 15 Ogos hingga 23 Ogos lalu, polis menumpaskan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa berlesen dengan menahan 12 individu, menerusi serbuan di Johor Bahru, Batu Pahat, Selangor dan Kuala Lumpur.
Manakala pada 15 Ogos lalu, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan sembilan individu berusia 23 hingga 36 tahun.
“Antaranya seorang lelaki tempatan di apartmen Bandar Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, selain tujuh lelaki tempatan di rumah kedai di Pusat Perdagangan Danga Utama, Tampoi dan seorang lagi lelaki tempatan di Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kereta Peronda Kontinjen Johor di IPK Johor hari ini.
Ayob Khan berkata, menerusi serbuan kedua pada 22 Ogos pula, tiga lagi lelaki berumur antara 29 hingga 46 tahun berjaya ditahan di Sepang dekat Selangor serta Skudai dan Johor Jaya di sini.
Menurutnya, selain penahanan 12 lelaki terbabit, polis turut merampas sejumlah barangan dipercayai terlibat dengan sindiket itu termasuk 14 komputer riba, 52 telefon bimbit pelbagai jenama dan 43 keping pelbagai kad sim.
Selain itu, turut dirampas ialah lima buah kereta, empat plastik lut sinar berisi cat merah, dua botol berisi cat merah serta satu unit pemprosesan pusat (CPU).
Ayob Khan berkata, modus operandi sindiket ini menyasarkan warga tempatan yang bekerja di Singapura dengan membuat pinjaman menerusi online dan mangsa tidak berjumpa secara terus dengan pemberi pinjaman.
Katanya, kebanyakan peminjam dipercayai dalam kalangan kaki judi dan ada juga yang meminjam kerana mahu menjalankan perniagaan.
Beliau berkata, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 435 Kanun Keseksaan, Seksyen 436 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, selain Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 29B (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
PenggerakDaily