JOHOR BAHRU: Dianggarkan sehingga 40 peratus penduduk di kawasan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) culas dalam membuat pembayaran cukai harta mereka, tahun lalu.
Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, perkara tersebut menyebabkan pihaknya mengalahkan kekurangan peruntukan untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur termasuklah melibatkan kerosakan jalan raya.
Menurut beliau, ada antara pemilik kediaman di kawasan PBT itu tidak membuat pembayaran cukai harta mereka selama bertahun-tahun.
“Walaupun kita telah naikkan kadar bayaran cukai bermula tahun ini dengan pemberian rebat 30 peratus, namun peningkatan perolehan tidak besar, hanya sekitar RM10 juta hingga RM12 juta, itupun sekiranya semua penduduk membuat pembayaran segera.
“Tetapi masalah timbul apabila ramai pihak culas dalam membuat pembayaran, sekaligus mengurangkan peruntukan kita untuk melakukan kerja-kerja pembaikan infrastruktur termasuk jalan-jalan rosak di bandar raya ini.
“Sehubungan itu, kita telah buat permohonan bagi menambah peruntukan antara RM20 juta hingga RM30 juta kepada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) untuk membaiki kerosakan jalan-jalan,” katanya selepas Majlis Pedoman MBPG 2024 yang diadakan di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang, di sini.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Datuk Azmi Alias dan Ketua Jabatan Penguatkuasaan MBPG, Nazri Tongal.
Tambah Asman Shah, pihaknya komited untuk melakukan pelbagai penambahbaikan baik meningkatkan mutu kualiti dan kesejahteraan hidup penduduk dan juga individu yang bekerja di kawasan PBT ini.
“Antara langkah diambil termasuklah menggunakan konkrit melibatkan kawasan persimpangan jalan utama berbanding menggunakan tar. Kajian dibuat mendapati bahan konkrit dapat tahan lebih lama berbanding kaedah tar biasa.
“Ini penting kerana jalan raya sekitar Pasir Gudang dibina pada tahun 70-an, dengan berat maksimum ketika itu adalah untuk kenderaan berat sehingga 30 tan, namun kini kenderaan berat yang melalui kawasan itu melebihi 40 tan, jadi ia sudah tidak bersesuaian lagi menyebabkan banyak kerosakan berlaku.
“Walaupun begitu, MBPG akan tetap lakukan yang terbaik dalam menyantuni keperluan anggota masyarakat di kawasan ini,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily