Categories
Berita Kesihatan Pendidikan

COVID-19: SEMUA INSTITUSI PENDIDIKAN DI JOHOR BAHRU DITUTUP

Johor Bahru, 30 OKT:  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di daerah Johor Bahru, Johor akan ditutup bermula 1 November 2020 sehingga 14 November 2020.

Tindakan ini selaras dengan perutusan khas YAB Perdana Menteri pada 6 Oktober 2020 berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh KKM, lapor satu kenyataan media dari KPM, hari ini.

“Langkah ini melibatkan sebanyak 376 institusi pendidikan di seluruh daerah Johor Bahru”,

“Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Institusi Pendidikan Guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM”,

“Untuk makluman juga, senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM”, menurut kenyataan tersebut.

KPM juga memaklumkan sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup.

“Bagi Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang. Walau bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta murid atau pelajar yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama”.

 

PenggerakDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *