Categories
Berita Jenayah pembangunan

5 LELAKI DITAHAN DISYAKI ROGOL MURID TAHUN 6

Lima lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan empat ditahan pagi tadi kerana disyaki merogol seorang murid tahun enam pada 29 September lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharuddin Abdullah berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 23 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 hingga 6.30 pagi tadi selepas ibu mangsa membuat laporan polis kelmarin.

“Dalam kejadian 29 September lepas, kira-kira jam 9 malam, mangsa yang sedang menunggang motosikal berseorangan untuk mengambil ibunya yang berniaga di pasar malam tiba-tiba dihimpit sebuah motosikal dinaiki dua suspek yang mengarahkan mangsa memberhentikan motosikalnya.

“Salah seorang suspek yang dikenali mangsa kemudiannya menunggang motosikal milik mangsa dan membawa mangsa bersamanya ke sebuah ladang sawit sebelum merogol mangsa bersama empat rakannya yang lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, semalam.

Baharuddin berkata, ketika kejadian salah seorang suspek turut merampas telefon bimbit milik mangsa bagi mengelakkan mangsa daripada meminta bantuan.

Menurut beliau, kejadian itu hanya terbongkar selepas ibu mangsa menyedari perubahan sikap anaknya yang bertukar murung sebelum mangsa menceritakan kejadian tersebut dan dibawa ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Kesemua suspek direman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 375 (b) Kanun Keseksaan.

Sumber: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *