JOHOR BAHRU: Seramai 59 murid golongan B40 daripada dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) berpeluang mendapat ‘pandangan baharu’ apabila bakal menerima cermin mata secara percuma sumbangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan.
Bendahari Kelab Inner Wheel Johor Bahru, P. Nalini berkata, dua SJKT yang terlibat dengan projek ‘Gift of sight’ itu adalah SJKT Gelang Patah dan SJKT Masai.
Katanya, program itu bertujuan untuk membantu murid daripada keluarga B40 mendapatkan cermin mata, sekaligus dapat membantu fokus mereka dalam pelajaran.
“Kita dapati ada dalam penerima sumbangan ini, ada murid yang mempunyai tahap kerabunan setinggi 500, tetapi masih tidak memakai cermin mata kerana keluarganya tidak mampu.
“Selain itu, ada juga murid yang memakai cermin mata dengan tahap kerabunan tidak sesuai buat mereka. Semua masalah ini sekaligus menyebabkan pelajaran mereka terganggu kerana tidak dapat melihat dengan jelas dan kerap pening,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui di SJKT Masai, dekat sini hari ini. Dalam program tersebut, kesemua murid terlibat akan menjalani pemeriksaan mata sebelum menerima cermin mata masing-masing, minggu depan.
Tambah Nalini, maklum balas awal diterima pihaknya berhubung program itu amat menggalakkan apabila wakil sekolah terlibat menyambut baik pelaksanaannya dan berharap ia akan dapat diperluas pada masa depan.
“Selain daripada sumbangan cermin mata, kita juga sedang mendapatkan maklumat berhubung keperluan pihak sekolah, antara sumbangan yang boleh dipertimbang termasuklah tusyen, buku sekolah, pakaian uniform dan juga barangan keperluan asas.
“Selain projek ini, pertubuhan kami turut menaja 10 buah keluarga B40 dengan kelengkapan keperluan asas sebanyak RM300 sebulan, serta dua buah sekolah khas di sini dengan peruntukan berjumlah RM2,000 sebulan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nalini turut memberitahu pihaknya juga sedang merangka satu program bantuan peneroka kesihatan buat komuniti masyarakat orang Asli yang dijangka akan dilaksana awal tahun depan.
Penggerak Daily