Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyokong usaha kerajaan mengurangkan impak Covid-19 kepada rakyat dan langkah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini.
Justeru, sebagai lanjutan kepada Diskaun Rangsangan Ekonomi untuk bil elektrik yang diberikan bermula Mac lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), lebih tujuh juta pengguna kediaman (Tarif A – Domestik) di Semenanjung Malaysia akan terus menikmati diskaun bil elektrik sehingga 50 peratus berdasarkan penggunaan elektrik bulanan dari 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020.
Jumlah penggunaan elektrik bulanan dan kadar diskaun;
- Di antara 1-200kWj atau sehingga RM43.60 (50%)
- Di antara 201-300kWj atau RM43.70 hingga RM77.00 (25%)
- Di antara 301-600kWj atau RM77.10 hingga RM231.80 (15%)
- Di antara 601-900kWj atau RM232.35 hingga RM395.60 (10%)
- Melebihi 900kWj atau melebihi RM395.60 (2%)
“Inisiatif pelanjutan diskaun oleh kerajaan ini mengutamakan mereka yang memerlukan akibat Covid-19,” kata Ketua Pegawai Retail TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Bagi menyokong usaha kerajaan ini, TNB juga turut meneruskan tiga inisiatif berikut untuk manfaat pengguna kediaman sehingga akhir tahun ini iaitu Pelan Bayaran Mudah (pilihan untuk pengguna membayar bil secara ansuran tanpa surcaj tambahan).
Kedua, pengecualian surcaj lewat bayar (bagi tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020) dan ketiga, penangguhan aktiviti pemotongan bekalan, kecuali permohonan daripada pengguna berdaftar dan arahan daripada pihak berkuasa.
“Tanggungjawab membendung penularan wabak Covid-19 adalah usaha kita bersama. Kita seharusnya mengambil berat dan prihatin antara satu sama lain dalam waktu sukar ini,” kata Ir. Megat Jalaluddin lagi.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web TNB (www.tnb.com.my/prihatin).
Untuk sebarang pertanyaan, hubungi TNB CareLine di 1-300-88-5454 atau e-mel tnbcareline@tnb.com.my atau kunjungi Kedai Tenaga berdekatan.
Sumber: MalaysiaGazette