ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri telah menyelesaikan sebanyak tujuh projek terbengkalai di Johor sekaligus membolehkan seramai 2,500 keluarga memasuki kediaman masing-masing, tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pihaknya memperuntukkan RM600 juta bagi melaksanakan perkara tersebut.
Selain itu katanya, pihaknya telah siap membina 12,540 unit kediaman rumah mampu milik sejak 2022 hingga Ogos tahun ini, iaitu hampir separuh daripada sasaran 30,000 unit dibina menjelang 2026.
“Kami turut menyambut baik pelaksanaan projek Perumahan Madani dilakukan kerajaan pusat. Inisiatif perumahan kerajaan negeri dan pusat bertujuan menyediakan rumah berkualiti kepada golongan sasar iaitu B40 dan M40.
“Perumahan Madani ini adalah tambahan kepada inisiatif perumahan sedia ada. Di Johor kita ada satu jawatankuasa iaitu ‘Planning, Design and Rewiew Comitteee’ (PDRC) yang mana ia menggabungkan semua agensi pusat dan negeri.
“Antara objektifnya adalah untuk mencari kaedah menang-menang buat semua pihak, khususnya rakyat agar dapat memiliki rumah berkualiti pada harga yang berpatutan,” katanya pada program Sinergi antara Kerajaan, Universiti, Komuniti dan Industri (GUCI) di Hotel Sunway Big Box, di sini.
Tambah Mohd. Jafni, usaha menyediakan rumah mampu milik kepada semua lapisan masyarakat bukan suatu perkara mudah, namun kerajaan negeri komited menjayakan aspirasi itu bagi memastikan Johor mencapai sasaran menjadi negeri maju pada 2030.
“Kerajaan negeri telah mewajibkan setiap syarikat yang mahu membangunkan hartanah kediaman di negeri ini untuk menyediakan rumah mampu milik, iaitu kira-kira 40 peratus daripada projek mereka.
“Ada empat kategori rumah mampu milik Johor yang bermula pada harga RM50,000 hingga RM300,000,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily