JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekesalan baginda berhubung kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya dan sedang berada di bawah pengaruh dadah.
Baginda bertitah bahawa kejadian itu berlaku betul-betul di depan matanya.
“Saya lihat mereka bawa bot penumpang dengan laju dan berbahaya dekat jeti Pulau Rawa.
Saya arahkan polis menahan bot tersebut yang dalamnya ada membawa satu keluarga dengan anak-anak kecil untuk aktiviti ‘island hopping’,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Sultan Ibrahim turut mengarahkan agar semua agensi penguatkuasaan meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan tegas.
“Setelah polis buat penahanan dan siasatan lanjut, jelaslah tindakan mereka memandu bot dengan tidak tentu arah kerana kesan pengaruh dadah.
“Ambillah tindakan tegas termasuk membatalkan lesen pemandu dan rampas bot yang tidak mengikut peraturan.
“Perkara seperti ini sangat memalukan industri pelancongan negeri Johor. Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi,” titah baginda lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing dilaporkan berkata, dua lelaki yang merupakan tekong bot dan awak-awak ditahan selepas positif dadah ketika membawa penumpang menaiki pengangkutan air itu secara merbahaya, kelmarin.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan pada pukul 10 pagi selepas polis menahan sebuah bot pelancong berukuran 26 kaki panjang dan enam kaki lebar itu di perairan Mersing berhampiran Pulau Rawa.
“Bot yang ditahan itu sedang membawa lima orang penumpang yang dikendalikan seorang tekong dengan cara yang berbahaya.
“Justeru, dua lelaki berusia lingkungan 22 tahun hingga 26 tahun telah diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasilnya, kedua-dua mereka didapati positif dadah jenis meth dan akan direman bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Penggerak Daily