ISKANDAR PUTERI: Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin yakin seramai 90 peratus populasi dewasa Johor bakal menerima suntikan vaksin lengkap menjelang akhir September ini.
Beliau yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Industri turut memberitahu, perkara itu akan dicapai disebabkan beberapa faktor iaitu pertambahan bekalan vaksin ke negeri ini dan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu.
“Ketika ini kapasiti suntikan vaksin di Johor adalah sekitar 71,000 dos sehari di kesemua 259 PPV yang terdapat di seluruh Johor.
“Namun dengan pertambahan jumlah bekalan vaksin dan cadangan pembukaan dua lagi PPV iaitu di Iskandar Malaysia Studios dan di Arena Larkin, kami yakin kapasiti suntikan boleh dipertingkatkan kepada 90,000 dos sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melawat tapak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Iskandar Malaysia Studios, di sini hari ini.
Menurut beliau, PPV di Iskandar Malaysia Studios bakal memberikan 7,000 dos suntikan sehari manakala PPV di Arena Larkin akan dilaksanakan secara pandu lalu khususnya bagi orang kurang upaya (OKU) dan golongan warga emas.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin memaklumkan beliau telah menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membentangkan jadual penghantaran vaksin ke negeri ini untuk bulan Ogos.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sementara itu, Tunku Ismail dalam satu kenyataan dimuatnaik menerusi laman Facebook rasmi baginda bertitah, Johor akan menerima dua juta bekalan dos vaksin dalam bulan ini.
“Pertemuan (dengan Khairy Jamaluddin) ini mengenai kadar vaksinasi dan pembekalan vaksin di Johor dan hasil perbincangan, Johor akan menerima sebanyak dua juta dos vaksin untuk bulan ini.
“Dos vaksin ini akan tiba pada 1 Ogos berjumlah 324,940 dos; kemudian 9 Ogos (564,234 dos); 16 Ogos (340,150 dos) dan 23 Ogos (796,344 dos),” titahnya.
Baginda turut bertitah semoga pengumuman itu akan menghasilkan pencapaian imuniti kelompok dalam jangka masa yang terdekat.
Penggerak Daily