SINGAPURA, 11 Ogos — Lembaga Taman Nasional (NParks) Singapura akan memusnahkan sembilan tan gading gajah bernilai S$18 juta (RM55.07 juta) sempena memperingati sambutan Hari Gajah Sedunia, esok (12 Ogos).
Gading berkenaan dirampas daripada pelbagai penghantaran sejak beberapa tahun lalu, demikian menurut NParks dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 21 Julai 2019, republik itu merampas sebanyak 8.8 tan atau 1,548 gading gajah mentah bernilai kira-kira $17.6 juta (RM54 juta) yang dibungkus di dalam 137 beg.
NParks, Kastam Singapura dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan merampas gading berkenaan dari sebuah kontena setinggi 40 kaki yang sedang dalam perjalanan dari Republik Demokratik Kongo ke Vietnam.
Ia dikatakan rampasan terbesar gading gajah di Singapura, setakat ini.
Menurut NParks, sembilan tan gading yang akan dimusnahkan menggunakan penghancur batu industri dan proses penghancuran akan disiarkan secara langsung di laman YouTube NParksSG.
NParks menguruskan lebih 350 taman, 3,347 hektar rizab alam termasuk Taman Botani Singapura, Taman Tasik Jurong, Pulau Ubin dan Taman Laut Sisters Islands.
— BERNAMA