Johor Bahru, 29 OKT: Seramai 9,003 keluarga melibatkan pelbagai kaum dan agama di seluruh Johor menerima kurniaan barangan keperluan makanan daripada DYMM Sultan Johor menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), menurut satu hantaran dari facebook rasmi Sultan Ibrahim.
“Kurniaan secara berterusan daripada Baginda Tuanku Sultan disampaikan kepada keluarga memerlukan di pelbagai kawasan penempatan bermula 28 April lalu, yang turut terkesan akibat penularan COVID-19”,
“Pada hari ini (29 Oktober), seramai 303 penerima di kawasan Mukim Pagoh dan Muar, termasuk komuniti masyarakat India yang bakal menyambut Deepavali pada bulan depan, menerima kurniaan barangan keperluan makanan”,
Penerima bantuan, G. Nagayammah, 49, yang kehilangan suaminya pada Mac lalu, melahirkan perasaan gembira dan syukur di atas kurniaan yang diterima.
“Patik Menjunjung Kasih kepada DYMM Sultan Johor di atas sumbangan kepada keluarga kami, Baginda merupakan seorang Sultan yang berjiwa rakyat” katanya kepada Royal Press Office (RPO).
Sementara itu, wakil penduduk masyarakat India, K. Nedunselian turut melahirkan penghargaan di atas kurniaan bantuan berkenaan.
Kurniaan disampaikan wakil Baginda, Mejar Cina David Wong dengan kerjasama pimpinan setempat serta sukarelawan.
PenggerakDaily