JOHOR BAHRU: Agensi kerajaan perlu berganding bahu dan bekerjasama bagi menyelesaikan beberapa isu yang berbangkit melibatkan kesejahteraan rakyat termasuklah ketidakseragaman peluang pekerjaan dan modal insan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ketidakseragaman peluang pekerjaan merupakan antara isu utama yang hendak ditangani kerajaan negeri menerusi penubuhan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor.
Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan melibatkan pemain industri daripada pelbagai sektor dan juga agensi kerajaan bertanggungjawab soal sumber manusia negeri.
“Dapatan daripada jawatankuasa ini mendapati terdapat beberapa kelompongan dalam pentadbiran kerajaan apabila agensi-agensi berkaitan bekerja dalam ‘silo’ sendiri.
“Jadi untuk mengatasi permasalahan itu, jawatankuasa ini ditubuhkan melibatkan tiga exco kerajaan negeri dan juga agensi dibawahnya untuk menjalin kerjasama antara mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor di Hotel Trove, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norliza Noh.
Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri juga akan meningkatkan pertemuan antara agensi kerajaan terlibat dengan pemain industri kepada empat kali setahun.
“Sebelum ini, pertemuan antara agensi kerajaan dan pemain industri dilakukan secara umum sahaja namun pada masa depan, kita mahu memastikan pertemuan dibuat secara lebih menjurus bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit.
“Ketidakseragaman ini perlu diatasi bagi membolehkan negeri Johor dan juga rakyatnya terus maju,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Hairi pula memberitahu, bengkel berkenaan merupakan permulaan bagi kerjasama lebih kukuh dalam memperhalusi kerangka penyelesaian strategik melalui Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor.
“insya-Allah, besar harapan saya untuk melihat resolusi daripada bengkel ini diserahkan kepada Menteri Besar Johor bagi membantu menggerak dan melakukan inisiatif lebih bersasar dalam menangani semua isu yang dibangkitkan,” jelasnya.
Penggerak Daily